Sunday, 6 March 2016

Anak Lambat Cakap, salah siapa?

Pada ketika 90-an banyak kita dengar berkenaan 'teknologi mendekatkan yang jauh'. Ketika itu segala jenis teknologi yang memudahkan perhubungan menjadi satu pencapaian yang mengkagumkan.
Namun, hari ini, bila telalu biasa mengakses komunikasi jarak jauh, sehingga yang dekat selalu di abaikan. Tidak hairan banyak kes ibu yang datang ke klinik pakar mengadu tentang 'milestone delay' atau kelewatan dalam pencapaian tumbesaran anak-anak mereka khususnya dari sudut percakapan. Sesetengah ibu risau jika anak mereka di'diagnose' sebagai Autisme kerana termakan dengan dakyah gerakan Anti-Vaksin yang semakin popular di tanah air. Hakikatnya, merekalah punca 'milestone delay' ini.

Zaman kanak-kanak umur 2 tahun ke 4 tahun ialah waktu ketika mereka mula belajar untuk mengenal perkataan. Guru pertama mereka pastinya Ibu bapa mereka sendiri. Apa yang mereka cakap, anak-anak akan ajuk sehinggalah mereka pandai buat ayat perkataan sendiri.

Bercakap dengan anak-anak sebenarnya mampu merangsang perkembangan otak, atau secara spesifik dipanggil 'speech center'. Jika center ini dibentuk dengan baik, maka anak anda akan bercakap dengan baik dan begitu jugalah sebaliknya.

Jadi, nasihat saya, bercakaplah sebanyak mungkin dengan anak kecil anda, keranaandalah guru pertama beliau. Seperti nasihat Dr Nouman Ali Khan, bercakaplah dengan anak permpuan anda, dan bermainlah dengan anak lelaki anda. Interaksi secara terus seperti ini lebih memberi impak yang besar kepada mereka dan generasi akan datang.

Dengan selalu bertutur dengan mereka, sebenarnya mampu membentuk budi bahasa yang baik jika ibu bapa sendiri bertutur dengan bahasa yang elok. Sebab itu jugalah Nabi Muhammad S.A.W dihantar ke ibu susuan di pinggiran kota Mekah, kerana di situ terdapat satu qabilah yang masih bertutur dengan bahasa arab yang fasih dan elok.

"Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewamakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi" (riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi, didiklah anak anda sebaiknya, kerana andalah guru pertama mereka.

Monday, 6 October 2014

Jundi Majhul

Walau namanya tidak pernah disebut orang banyak,
Walau kerjanya bukan di khalayak,
Walau kedudukannya tidak sehebat diplomat,
Prinsip ikhlas dan jujur tetap digenggam erat,
Kerana Allah sebagai matlamat!

Sebuah tulisan lama yang saya sendiri kurang pasti kenapa disimpan begitu lama. Pemerhatian saya kebelakangan ini membuatkan saya sendiri terfikir akan tulisan lama ini yang tidak di publish kepada umum. Mungkin kali ini masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Seringkali seseorang yang kepenatan berkerja dalam satu tempoh yang lama dalam pekerjaan yang sama timbul rasa malas dan bosan akan pekerjaan tersebut. Mula terdetik dalam hati dan syaitan membisikkan ke'agungan' pekerjaan orang lain. Kerja itu lebih hebat, Kerja itu lebih seronok. Kerja itu tidak penat. Kerja itu di khalayak. Mungkin bisikan-bisikan ini tampil secara mulus ke dalam hati sang daie.

Saya hadirkan kisah ini buat tatapan bagi diri ini dan rakan-rakan. Juga sebagai hadiah setelah penat bekerja tanpa henti akhir-akhir ini.

......

Beliau sering dilihat setiap petang membawa baldi di tangan kanannya yang dipenuhi dengan campuran cat dinding dan 2 berus cat. Kadang-kadang cat tersebut berwarna hitam, kadang-kadang warna merah. Pada tangan kirinya pula tersemat tongkat kayu buatan jati asli yang setia bersamanya ketika melakukan tugas.

Ketika jalan-jalan di Kaherah yang sesak menjadi lengang. Ketika manusia enak dengkur diulit mimpi. Ketika kemuncak kedinginan pada musim sejuk, beliau bangun dari tidur lalu bekerja pada jam 12 tengah malam setiap hari. Tiada banya beza dengan musim panas. Kerjanya tetap mula tatkala larut malam hinggalah azan subuh sebagai wisel penamat bagi pekerjaan beliau pada hari tersebut.

Kerja beliau kerja yang mencabar dan susah. Bahkan tiada siapa yang membayar upah gaji mahupun menilai hasil kerja beliau. Cukuplah Allah sahaja yang mengganjari segala amalan beliau. Hanya mengharapkan keredhaan Allah S.W.T tiada lain daripada itu. Beliau merupakan salah seorang daripada ahli Ikhwan Mait Ghamr (sebuah daerah dalam Daqhaliyah). Dari Mait Ghamr, beliau berhijrah ke Kaherah untuk berbakti sepenuh hati. Tiada seorang pun yang tahu alamat beliau di Kaherah, kerana beliau menetap di rumah sesiapa sahaja yang baik hati dan mengenali dirinya dan merelakan rumah tersebut untuk menginap.

Setiap malam beliau mencari dinding-dinding yang tidak bersimen kemudian menulis di atasnya kalimah-kalimah barakah. Jika dinding tersebut terlalu tinggi, beliau memanjat batu sepertimana yang dilakukan oleh Ibrahim A.S ketika membina ka’abah bersama anaknya, Sulaiman A.S.

Dengan penuh keiklasan, beliau memulakan contengan pertama. Lafaz barakah terus diukir satu persatu. “Ikhwan Muslimun” Sebesar mungkin, supaya dilihat ramai orang. Kadang beliau menggunakan teknik khat thuluth, kadang farisi, kadang nasakh, kadang riq’ah, kadang diwani. Pada bawah tulisan tersebut ditambah “Dakwah kepada kebenaran, kekuatan dan kebebasan”. Yang pastinya, tulisan beliau cantik-cantik walaupun tidak pernah belajar secara formal. Mungkin ini kelebihan miliknya yang Allah berikan.

Pernah suatu ketika Dr. Mahmud ‘Assaf mengajaknya bekerja dengan membuat kaligrafi arab di syarikat pengiklanan miliknya bagi membolehkan beliau bekerja di siang hari, tetapi ditolak dengan baik atas alasan beliau tidak pandai menulis di atas kertas. Beliau hanya tahu menulis di dinding-dinding sahaja. Mungkin juga beliau tidak mahu dikenali ramai. Mungkin.

Mural tidak berlesen ala-ala graffiti yang beliau tulis sendirian begitu besar kesannya kepada masyarakat. Setiap ahli Ikhwan yang lalu, pasti berasa gembira dengan ‘projek’ tersebut. Susuk tubuh beliau sukar dikesan kerana sifatnya yang sentiasa ke sana-sini. Namun, jika mahu berjumpa dengannya, beliau akan berada berhampiran dengan pintu pejabat Imam Hasan Al-banna antara waktu Maghrib hingga Isya’.

Rentetan daripada hasil seni beliau, ramai mula bertanya “Siapakah Ikhwan Muslimun?”. Ikhwan Muslimun mula dikenali. Buktinya, Markaz Am Ikhwan Muslimun diziarahi oleh orang ramai terutama pada Selasa bagi memperdengarkan Hadith Thulatha’ yang disampaikan sendiri oleh Imam Hasan Al-banna. Maka telah datanglah pertolongan daripada Allah dan berbondong-bondonglah manusia mengikat janji setia, berbaiah untuk tidak lagi melakukan kemungkaran secara terang-terang mahupun sembunyi, bertaubat atas segala perbuatan yang bercanggah dengan agama.

Kadang-kadang tertanya juga atas semangat apakah beliau sanggup berkorban, berhijrah dan menghabiskan masa bekerja dengan pekerjaan yang tidak pernah diketahui umum.

“Tiada bumi yang menyekatnya, dan tiada azab yang menakutkannya.”

Mungkin kata-kata hukama’ ini menjadi dorongan beliau meneruskan kerja mulia tetapi tidak dipandang manusia. Tiada manusia yang mampu melakukannya melainkan jika ianya sudah berada di puncak keikhlasan. Pastinya setiap amalan walau dianggap kecil atau remeh, dipandang besar beliau dan dibuat sepenuh hati. Hakikat keikhlasan mengatasi percaturan manusia yang terbatas. Boleh jadi amalan kecil jika dibuat dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan lebih afdhal dan diterima Allah berbanding Tuan Presiden yang menjaga negara dan rakyatnya.

Beliau yang dimaksudkan adalah Ustaz Muhammad Al-banna. Walaupun beliau bukanlah kerabat Imam Hasan Al-Banna secara dekat, tapi hatinya dan amalannya tetap akur dengan perjuangan Ikhwan Muslimun. Beliaulah Jundi Majhul.
......................



KERANA ALLAH SEBAGAI MATLAMAT!

يقول الإمام الشهيد حسن البنا – رحمه الله :
إن أعز ما يملك الإخوان ، هو ذلك الجندي المجهول ، الذى يبذل أقصى ما فى جهده ، وينفق أكثر ما فى جيبه ، ويضحي بأغلى وقته . فإذا حضر لم يُعرف ، وإذا غاب لم يُفتقد ، يتعمد البعد عن الشهرة والأضواء ، قليل الكلام كثير العمل ، يؤمن أن له رباً يذكره فى ملأ  هو أفضل من الأرض ومن عليها ، رب يحب من العمل ما كان خالصاً 
Berkata Imam Syahid Hasan Al-Banna - rahimahullah:
"Sesungguhnya mutiara termahal dimiliki oleh Ikhwan ialah jundi majhul itu, yang berusaha sehabis kudratnya, yang menginfaqkan melebihi dari apa yang ada di dalam poketnya, yang berkorban dengan waktu paling berharga yang dimilikinya. Kehadirannya tidak diketahui. Ketiadaannya tidak disedari. Dia sengaja menjauhkan diri dari menjadi popular, sedikit cakapnya, banyak amalnya, dia beriman bahawa baginya ada tuhan yang akan mengingatinya bersama golongan yang lebih afdhal dari bumi dan segala isinya, tuhan yang suka terhadap amalan selama mana ia dilakukan dengan keikhlasan".

Friday, 3 October 2014

Dendam Pada Salahuddin Berakhir Dengan Balfour

Ketika perang salib meletus, Baitul Maqdis ketika itu di bawah kuasa tentera kristian salib. Kristian telah menguasai baitul maqdis hampir 90 tahun menukarnya menjadi gereja.

Kemudian Allah munculkan seorang tokoh buat umat Islam pada zaman tersebut, Sultan Salahuddin Al-Ayubi, seolah-olah dikatakan oleh ulama' sejarah bahawa Sultan Salahuddin Al-Ayubi di ciptakan untuk menamatkan perang salib dan membebaskan semula masjidil aqsa. Pada ketika itulah detik manis bagi umat Islam, pertama kalinya azan berkumandang di masjid suci itu. Sultan segera membersihkan masjid tersebut dan menjadikannya semula sebagai tempat Ibadah umat Islam.

Namun, bagi golongan kuffar, kisah ini tidak terhenti begitu sahaja. Dendam kesumat kepada Sultan Salahuddin Al-Ayubi khususnya terus membara dan dipendamkan. Umpama bom jangka yang menunggu masa untuk diledakkan pada masa yang sesuai.

Dipendekkan cerita, umat Islam semakin lemah, sultan sudah hilang kuasa, slogan jihad sudah tidak lagi ditakuti, Al-Aqsa kembali jatuh ke tangan kuffar dengan perjanjian balfour (1917).

Ketika hari Inggeris menjajah Al-aqsa (1917), General Edmund Allenby melaungkan dengan angkuhnya "Hari ini, berakhirlah perang salib!!". Pada salah satu majalah ketika itu pula mengeluarkan karikatur bertajuk "Pengakhiran Kempen Salib" melukiskan wajah Richard The Lionheart yang pada dahulunya menentang Sultan Salahuddin Al-Ayubi (1137-1193). Mengangkat kembali perjuangan Richard dan menganggapnya terkorban dalam 'perang suci'.

Tidak cukup dengan itu, selepas tentera Perancis menakluki Damsyik (1920) General Henry Gouraud menuju ke kubur Sultan Salahuddin dan menyepak kubur tersebut dan berkata "kami sudah kembali wahai Salahuddin!" Pembukaan baitul maqdis oleh Salahuddin sudah lama berlalu, tetapi dendam kesumat bagi kuffar tidak pernah padam biarpun lebih 700 tahun sudah berlalu (1187-1917).

Kisah dendam pada Salahuddin tidak habis setakat ini sahaja. Usaha tersebut terus berkembang dalam usaha mencantas legasi Salahuddin yang baru.

Pada tahun 1992, Sukan Olympic musim panas sengaja diadakan di Barcelona, Spain demi memperingati 500 tahun pengusiran umat Islam dari Andalusia (1492). Pada tahun yang sama juga Bosnia diserang.

Bentuk yang sama juga cuba di aplikasi pada tahun ini (2014) ketika perlawanan akhir piala dunia bola sepak (FIFA) berlangsung pada penghujung Ramadhan sedang umat Islam di Palestin dibantai dihujani dengan roket-roket. Syukurlah peperangan kali ini berpihak kepada Umat Islam.

Namun, pada hari ini, siapakah yang mahu menyambung legasi Sultan Salahuddin Al-Ayubi. Siapakah yang mampu bertahan dalam menghadapi cantasan-cantasan daripada kuffar yang sentiasa berdendam dengan umat Islam?

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا نَصِيرٍ

"Orang yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu sehinggalah kamu menuruti agama mereka...."

Di Malaysia, cubaan untuk menghilangkan keaslian Islam itu makin hari makin kuat. Islam di Malaysia digasak dengan teruk sehingga berada pada zon merah buat masa ini. Jika kita tunduk pada kemahuan kafir, saya tidak terkejut suatu hari nanti mereka akan menyepak kubur nenek-moyang kita yang dahulunya bermati-matian mempertahankan agama ini di Malaysia.

Wallahu'alam.

Sumber foto dari laman fb Sejarah Islam - Dulu & Kini. 
Diskripsi foto:  Ilustrasi penyerahan pasukan Salib kepada Sultan Salahuddin Al Ayubi rahimahullah

Tuesday, 17 December 2013

Untung berada di Mesir.

Alhamdulillah, untung belajar di Mesir. Hampir setiap hari ada teguran-teguran dari Allah, tanda Dia sayang hambanya. Mesir berpesan supaya jangan bongkak, jangan bakil dengan orang lain, jangan sangka buruk dan sentiasa berlapang dada dan beri manfaat untuk semua di keliling kita.

Walau macam mana huru-hara sekalipun di Mesir, rakyatnya tidak putus-putus berdoa walau di mana-mana. "Semoga Allah merahmati Mesir", "Semoga Allah mengurniakan hidayah buat mereka", "Semoga Allah sentiasa bersama-sama kamu". Bila dengar ungkapan-ungkapan tersebut hati terus jadi tenang dan boleh tersenyum semula.

Kalau jumpa sahaja mana-mana doktor, katakan padanya, saya pelajar, saya mahu belajar di sini. Boleh? Alhamdulillah, tidak pernah ada doktor yang menolak permintaan tersebut. Malahan bertanya lagi kepada saya "apa perkara yang awak mahukan dari saya?". Syukur saya rasakan saya dikelilingi oleh manusia-manusia yang tidak putus-putus memberi manfaat kepada saya.

Mana ada negara yang tiada buruknya. Berbeza dengan negara kelas pertama, sampai sahaja, nampak yang baik dahulu, kemudian baru muncul kefasadan. Mesir pula sebaliknya. Nampak yang teruk dulu, kemudian perkara-perkara baik itu akan muncul. Bezanya kita kena pandai mencari.

Kata-kata "Mesir sentiasa buat kejutan", saya dengar ungkapan ini sejak dari tahun satu, oktober 2008, sehingga sekarang. Benar! Jujur saya katakan, negara ini banyak memberi kejutan bukan kepada saya, malahan kepada dunia secara keseluruhannya. Untuk 2 minggu kebelakangan ini sahaja, saya rasa sudah berapa galen gas pemedih mata saya sedut. Rasanya sudah lali.

Setiap pagi, kalau mahu ke kuliyah jam 7.30 pagi, pulang dengan mata kemerah-merahan. Kadang-kadang pedih. Bukan sebab gas itu sahaja, tapi kadang-kadang sebab debu dan lewat pulang rumah. Jangan salah sangka, gas pemedih mata tu, bukan setiap hari disembur. Tenang sahaja.

Wallahu'alam.

2.21pm
Kaherah, Mesir

Saturday, 14 December 2013

Selepas 112 tahun, Kaherah diselaputi salji.

Seharian berada di luar. Walaupun cuaca buruk, hujan renyai-renyai tak henti, suhu pula yang agak-agak hampir capai takat beku, nun di satu sudut celah bangunan seorang mak cik tua sedang terketar-ketar kedinginan. Masih tabah mencari sesuap rezeki dengan meminta sedekah dan menjual tisu. Dengan pandangan berat, hanya mampu mendoakan dari jauh, semoga mak cik itu mendapat pahala sabar.

Monday, 21 October 2013

10 Perkara Mengenai Egyptair yang Anda Perlu Tahu.


10 Perkara mengenai Egyptair yang anda perlu tahu:

1. Hanya satu penerbangan dijadualkan dalam satu hari di Malaysia. Iaitu pada pukul 9.55pm setiap hari.

2. Total berat bagasi yang dibenarkan ialah 54kg. (2 luggage 23kg setiap satu dan 8kg untuk beg kecil untuk masuk ke pesawat).  Ini menjadikan Egyptair pesawat yang membenarkan muatan terbesar kepada penumpangnya.

Sunday, 20 October 2013

Hai, nama saya Haziq, dan ini adik saya, Nawfal!

Haziq sudah mula berimaginasi sejak berumur 2 tahun.
Gambar ketika di KLCC dalam perjalanan ke aquaria
 Suatu hari, semasa saya menziarahi Kak Long di kediamannya, di Mantin, Negeri Sembilan, ketika azan maghrib, Haziq, anak sulung Kak Long tiba-tiba memberitahu, "Haziq nak buat Vico!". Ok, buatlah. Tak kesah. Tapi entah kenapa rasa gatal pula mulut ni, "Haziq, buatkan satu untuk ayah ami." Kejam juga bila difikirkan kembali, suruh budak 4 tahun bancuhkan vico. Sebelum tu, saya ambil tugas babysitter ketika Kak Long dan Abang Long menunaikan solat mahrib, sedang saya pula berniat untuk jama' sahaja mengambil rukhsah musafir.

Saturday, 19 October 2013

Si Penunjuk Masa

Teringat dulu-dulu waktu sekolah menengah. Di suatu petang, ketika berlangsung kursus kepimpinan di sekolah tersebut. Soalan daripada seorang guru yang amat aku kagumi. "Pilih satu benda yang mencerminkan prinsip anda." Arakian terkial-kial lah kami pelajar belasan tahun mencari benda di sekeliling untuk menjawab soalan guru tersebut. Terus terang IQ kami tidak sampai lagi untuk memikirkan hal seberat ala-ala falsafah kehidupan macam itu.

Teaser: Sehari Bersama Penulis Hebat, Abdul Latip Talib (Pak Latip)

Sampai rumah, dalam pukul 4 petang, terus menghenyak ke tilam. Badan sudah rasa penat. Sehari suntuk bermusafir ke Jelebu, Namun, hati rasa puas. Sangat puas. Belum lagi masanya untuk saya susun cerita satu-satu perisiwa sepanjang hari yang berlaku. Jika ada kelapangan, insya allah saya tulis di entri yang lain. 

Hanya satu kalimah mampu diungkap. Sebagai rumusan atas semua peristiwa sebentar tadi. Subhanallah!

Sebagai teaser, saya sertakan sebahagian gambar yang diambil.




Monday, 7 October 2013

10 Sebab Coklat Bagus Untuk Kesihatan

1. Coklat mengurangkan risiko Angin Ahmar (Stroke)
Satu studi yang dibuat di Sweeden mendapati jika seseorang itu makan lebih daripada 45gram coklat seminggu (2 bar coklat) mampu mengurangkan 20% risiko angin ahmar dalam kalangan wanita. Coklat mengandungi flavonoids, bertindak sebagai anti-oksida membantu melawan angin ahmar.

2. Coklat mengurangkan kebarangkalian serangan jantung.
Kajian lain mendapati coklat mampu mencegah risiko darah beku dalam saluran darah terutama saluran arteri koronari (coronary artery) justeru, mengurangkan risiko serangan jantung.

Monday, 30 September 2013

Prinsip Pertembungan Antara Nas dan Akal Menurut Ibn Taimiyyah

Tulisan kali ini lebih tepat ditujukan kepada segolongan muslim yang menjunjung pemikiran melebihi nas atau wahyu. Tidak kiralah diberi nama apa sekalipun, kebebasan berfikir, keluasan ilmu maqasaid dan usul fiqh, atau apa-apa istilah yang digunakan untuk memerangkap pemikiran pendengardan membawa kepada fahaman-fahaman yang radikal dan ekstrimis dalam menuntut kebebasas. Boleh jadi tulisan ini juga menjadi panduan bagi pengamal dan pengkaji teori-teori falsafah samada falsafah purba, falsafah Islam mahupun falsafah barat. Secara mudahnya, tulisan ini sebagai asas dan panduan dalam memberikan pandangan terutama jika pandangan tersebut bertentangan dengan nas.

Friday, 20 September 2013

Pengajaran isu Mesir dari sudut manhaj perubahan

Tentu sahaja Revolusi 2011 di Mesir dahulu dianggap sebagai revolusi rakyat dalam menuntut sebuah negara demokrasi, bebas daripada kezaliman dan kebebasan bersuara. Pernah satu hari, saya bertanya kepada seorang pemandu teksi tentang apa yang mereka mahukan selepas revolusi ini. Rata-rata mereka menjawab "aku mahu harga minyak turun, harga barang-barang turun dan aku mahu hidup senang!" Pelik bukan? Semudah itu mereka berfikir. Namun, tidak ada salahnya membuat permintaan sedemikian. Bagi kami, penuntut di sini turut merasa bebanan ekonomi sedemikian. Tetapi, benarkah dengan demonstrasi menggulingkan kerajaan mampu mengabulkan 1001 permintaan itu?

Monday, 16 September 2013

Hukum-Hakam Berkaitan Dengan Musafir Pada Hari Jumaat

1. Hukum bermusafir pada hari jumaat

Sesetengah pihak ada mengatakan bahawa Mazhab Syafie melarang melakukan perjalanan 'setelah terbit fajar' yang dijangka akan meluputkan waktu Jumaat. Imam Shawkani membahagikan kepada 5 pendapat mengenai hal ini :-
  1. Pendapat yang membenarkan/ Berkata Iraqi : ini adalah pendapat kebanyakkan ulama' dari para sahabat - Umar Ibn Al-Khattab, A-Zubair bin Al-Awaam, Abu Ubaidah, dan Ibn Umar. Dari Taabi'en - Al-Hassan, Ibn Sirin dan Al-Zahiry. Dan dari Imam-Imam : Abu Hanifah, Maalik dari dari riwayat mashyur darinya, Al-'Auzaa'i, Ahmad bin Hanbal dari riwayat mashyur darinya, dari pandangan lama (qaul qadim) dari Imam Syafie, dan Ibn Qudamah telah meriwayatkan banyak lagi ulama'-ulama' lain.

Saturday, 14 September 2013

Aku Melayu di Kota Inggeris

'Aku Melayu di Kota Inggeris'. Pertama kali terjumpa buku ini, beberapa persoalan terus menerjah dalam benak kepala. Ini buku novel atau jurnal? Kenapa tidak di pasarkan melalui penerbit yang ternama seperti PTS, Alaf 21, DBP? Paling penting kenapa buku ini hanya tinggal satu sahaja, di Kedai Buku Popular? Kenapa diletakkan dalam rak 'bacaan umum'? Adakah buku ini pandangan politik atau perkongsian agama kerana buku ini diapit oleh keduanya. Buku ini terlalu misteri! Belum sempat saya baca isi kandungannya mahupun kulit belakang buku ini, terus saya ambil keputusan untuk membelinya.

Friday, 13 September 2013

Prolog Musafir


Sebelum matinya seorang anak Adam, berbekal titisan hikmah al-Furqan dan mutiara sabda Nabi junjungan, aku meminjam azimat sang pendekar silam, mantera tabib sufi dan kiasan pujangga hukama'. Begitu juga daripada bicara lembut bapa yang tidak pernah jemu ditelaah kembali serta resah rindu seorang ibu. Aku belajar daripada ajaran murabbi-murabbi biasa yang luar biasa, sindiran kawan dan cabaran musuh. Mengembara di bumi asing sebenarnya merupakan proses belajar bertawakkal, menguji kesabaran diri dan mencari erti sendiri.