Saturday 14 September 2013

Aku Melayu di Kota Inggeris

'Aku Melayu di Kota Inggeris'. Pertama kali terjumpa buku ini, beberapa persoalan terus menerjah dalam benak kepala. Ini buku novel atau jurnal? Kenapa tidak di pasarkan melalui penerbit yang ternama seperti PTS, Alaf 21, DBP? Paling penting kenapa buku ini hanya tinggal satu sahaja, di Kedai Buku Popular? Kenapa diletakkan dalam rak 'bacaan umum'? Adakah buku ini pandangan politik atau perkongsian agama kerana buku ini diapit oleh keduanya. Buku ini terlalu misteri! Belum sempat saya baca isi kandungannya mahupun kulit belakang buku ini, terus saya ambil keputusan untuk membelinya.



Pada mulaya, saya simpan sahaja dulu buku ini. Dalam hati, berbisik 'buku ini mungkin buku biasa-biasa sahaja'. Tapi, malam itu, saya gagahkan juga mulakan pembacaan dari kata pengantar! Aduh, terus terpesona dengan kata-kata puitis! Kalam-kalam indah penuh makna.

Secara umum, perkongsian sebegini sangat bagus, bermakna untuk dikongsi oleh anak watan terutama golongan muda. Kita boleh lihat sudut pandang yang berbeza tetapi kemas dan menurut lunas yang ditetapkan. Susah juga kalau semua rakyat di Malaysia berfikiran konvensional dan beku. Tidak menerima pandangan baru, atau selesa dengan sedia ada tanpa memikirkan penambahbaikan dan pengislahan perkara-perkara buruk.

Paling terkesan bila penulis ada menyebut 'aku melihat ramai orang Islam di Timur tetapi Islam itu sendiri tiada. Tetapi aku tidak melihat ramai orang Islam di Barat tetapi Islam itu ada di sini'. Atau lebih kurang bunyi ayatnya. Pandangan saya, rugi jika penulis hanya menggambarkan satu-satu keadaan yang berlaku di mana kita sendiri tahu perlunya satu pengislahan berlaku tanpa meletakkan solusi yang terbaik. Jadi, apa penyelesaian bagi 'fitnah' ini?

Bagi saya, seorang pelajar, saya sangat menunggu-nunggu kisah suka duka tuan penulis dalam menghadapi cabaran sebagai seorang pelajar. Malangnya, kisah tersebut tidak disebutkan secara serius. Bagaimana sistem pembelajaran di sana, suasana belajar di sana, cabaran sebagai pelajar untuk menguruskan masa dan kewangan di sana. Malah, mungkin yang sudah berumah tangga, bagaimana pula beliau menguruskannya. Paling tidak, sebagai pembaca, saya boleh menilai perbezaan ketara dalam sistem pembelajaran di negara ketiga dan kedua. Mungkin penulis tidak terlibat secara langsung kerana penulis seorang penuntut di peringkat PhD. Maknanya, saya perlukan buku lain yang dikarang oleh pelajar di peringkat sarjana muda untuk mendapat jawapan ini.

Kemilau Publika? Pertama kali dengar nama penerbit tersebut. Tersenyum sumbing bila bacaan hampir-hampir tamat, baru dapat jawapan kenapa tidak diterbit oleh penerbit lain seperti DBP, Alaf 21, Telaga Biru, PTS dan lain-lain. Sedikit pandangan politik diserapkan dalam buku ini. Kadang secara halus, kadang secara nyata. Mana-mana pun, saya tidak kisah sebagai pembaca. Seperti yang disebut dalam buku ini, politik di Eropah diamalkan secara bebas dan bersih. Tanpa ada dendam kesumat, musuh dunia akhirat dan lain-lain perkara buruk yang sering digambarkan dalam politik tanah air. Namun, hakikatnya Malaysia belum bersedia untuk berpolitik secara matang. Ya, matang! Tetapi usaha-usaha untuk mempromosikan kematangan ini amat dialu-alukan tanpa mengira keuntungan peribadi dan periuk nasi sendiri.

Akhir sekali, saya menanti bagaimana pula kisah pelajar di Jordan, Mesir, Morocco, Jepun dan lain-lain negara di dunia ini. Perkongsian membuka minda kita. Selamat membaca!

FahmiAA
Nilai, Negeri Sembilan

1 comment:

  1. Setuju dengan saudara, buku ini sangat baik. Tetapi sebenarnya Kemilau Publika sudah lama ada.. rasa saya pada tahun 2006 begitu. Dulu popular dengan buku-buku TG Nik Aziz. Sekarang dah mencapah dengan pelbagai genre juga. Kualiti bukunya sekarang sangat2 bagus. Tetapi ya mungkin PTS dan DBP mungkin lebih besar promosinya sehingga overshadow Kemilau.

    ReplyDelete