Alhamdulillah, untung belajar di Mesir. Hampir setiap hari ada teguran-teguran dari Allah, tanda Dia sayang hambanya. Mesir berpesan supaya jangan bongkak, jangan bakil dengan orang lain, jangan sangka buruk dan sentiasa berlapang dada dan beri manfaat untuk semua di keliling kita.
Walau macam mana huru-hara sekalipun di Mesir, rakyatnya tidak putus-putus berdoa walau di mana-mana. "Semoga Allah merahmati Mesir", "Semoga Allah mengurniakan hidayah buat mereka", "Semoga Allah sentiasa bersama-sama kamu". Bila dengar ungkapan-ungkapan tersebut hati terus jadi tenang dan boleh tersenyum semula.
Kalau jumpa sahaja mana-mana doktor, katakan padanya, saya pelajar, saya mahu belajar di sini. Boleh? Alhamdulillah, tidak pernah ada doktor yang menolak permintaan tersebut. Malahan bertanya lagi kepada saya "apa perkara yang awak mahukan dari saya?". Syukur saya rasakan saya dikelilingi oleh manusia-manusia yang tidak putus-putus memberi manfaat kepada saya.
Mana ada negara yang tiada buruknya. Berbeza dengan negara kelas pertama, sampai sahaja, nampak yang baik dahulu, kemudian baru muncul kefasadan. Mesir pula sebaliknya. Nampak yang teruk dulu, kemudian perkara-perkara baik itu akan muncul. Bezanya kita kena pandai mencari.
Kata-kata "Mesir sentiasa buat kejutan", saya dengar ungkapan ini sejak dari tahun satu, oktober 2008, sehingga sekarang. Benar! Jujur saya katakan, negara ini banyak memberi kejutan bukan kepada saya, malahan kepada dunia secara keseluruhannya. Untuk 2 minggu kebelakangan ini sahaja, saya rasa sudah berapa galen gas pemedih mata saya sedut. Rasanya sudah lali.
Setiap pagi, kalau mahu ke kuliyah jam 7.30 pagi, pulang dengan mata kemerah-merahan. Kadang-kadang pedih. Bukan sebab gas itu sahaja, tapi kadang-kadang sebab debu dan lewat pulang rumah. Jangan salah sangka, gas pemedih mata tu, bukan setiap hari disembur. Tenang sahaja.
Wallahu'alam.
2.21pm
Kaherah, Mesir
No comments:
Post a Comment