Saturday, 19 October 2013

Si Penunjuk Masa

Teringat dulu-dulu waktu sekolah menengah. Di suatu petang, ketika berlangsung kursus kepimpinan di sekolah tersebut. Soalan daripada seorang guru yang amat aku kagumi. "Pilih satu benda yang mencerminkan prinsip anda." Arakian terkial-kial lah kami pelajar belasan tahun mencari benda di sekeliling untuk menjawab soalan guru tersebut. Terus terang IQ kami tidak sampai lagi untuk memikirkan hal seberat ala-ala falsafah kehidupan macam itu.


Dipendekkan cerita, ada rakan yang memilih kaca mata, ada yang memilih pedang, ada yang memilih kasut, dan macam-macam lagi benda yang dipilih. Ada yang logik, ada juga yang kurang logik. Ada yang serius, ada yang kelakar.

Tapi saya pilih, sebuah jam.

Jam... menunjukkan masa..masa itu emas.. masa itu kehidupan.. Ayat tipikal budak hingusan di sekolah menengah.

Tapi sekarang tidak lagi. Falsafahnya sedikit berubah.

Jam akan terus berpusing-pusing sehinggalah lengkap 360 darjah. Habis dua kali pusing, dilihatnya seperti berada di tempat sama, tapi jangan lupa tarikh sudah berubah. Masa yang berlalu, tidak mungkin sekali-kali berpatah ke belakang. Masa kadang seperti racun berbisa, dibiar lama, makin menjalar sakitnya. Masa umpama barah. Jika biar berlalu, semakin parah. Masa juga sifatnya merawat. Ada masa hanya perlu dibiar ia berlalu, semoga semangat kembali pulih. Namun masa itu akan terus berlalu. Kanak-kanak membesar menjadi remaja. Remaja beralih belia. Belia bertukar dewasa. Dewasa kembali tunduk menjadi tua.

Bila saatnya tiba, kematian pasti menghampiri. Itulah peranan besar jam si penunjuk masa. Setiap saat berkali, semakin hampir kita dengan kematian. Semakin kuat ingatan kita kepada akhirat, semakin rancak juga lidah kita bertasbih dan beristighfar.

Andaikata kita menipu jam, menukar jarumnya sesuka hati, ketahuilah perbuatan itu hanya sia-sia umpama menipu diri sendiri.

Semua manusia di bumi ini dikurniakan waktu yang sama, 24 jam sehari. mustahil bertambah, tapi selalu berkurang. Beza setiap manusia pada pengurusannya. Yang kuat dan cekal, mampu menguruskan dengan baik. Maka dilihat orang, beliau mempu melakukan banyak kerja dalam tempoh terhad. Tapi, bagi yang sebaliknya, muhasabah sendiri mana pergi masa-masa yang berlalu?

Ok, berbalik cerita guru saya. Pada akhir sesi, beliau pula berkongsi 'benda'. Pilihannya paku. Falsafahnya, semakin diketuk, semakin dalam. semakin dalam, semakin kukuh. Siapa yang mengenali guru tersebut akan tersenyum lebar. Puas dengan didikan yang dahulu pernah diterima. Namun terkilan kerana rasa masih belum cukup. Terima kasih atas tunjuk ajar.

Terima kasih umi atas pemberian jam tangan ini. Semoga bertambah pahala umi setiap kali saya melihatnya.
DrFahmiAA
18 Oktober 2013
Johor Bahru, Malaysia

No comments:

Facebook Blogger Plugin: By RNHckr.com

Post a Comment