Friday 13 September 2013

Prolog Musafir


Sebelum matinya seorang anak Adam, berbekal titisan hikmah al-Furqan dan mutiara sabda Nabi junjungan, aku meminjam azimat sang pendekar silam, mantera tabib sufi dan kiasan pujangga hukama'. Begitu juga daripada bicara lembut bapa yang tidak pernah jemu ditelaah kembali serta resah rindu seorang ibu. Aku belajar daripada ajaran murabbi-murabbi biasa yang luar biasa, sindiran kawan dan cabaran musuh. Mengembara di bumi asing sebenarnya merupakan proses belajar bertawakkal, menguji kesabaran diri dan mencari erti sendiri.


Untuk kalah di tengah jalan tidak sekali. Ibarat tulisan Pak Hamka dalm buku 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk' ada menyebut
Perahu sudah ke muara, dayung sudah di tangan, jangan sebut aku anak jantan untuk berpatah pulang.
Untungnya kini, pelayaran tidak lagi memakan waktu berbulan-bulan atau bertahun lamanya sebagaimana pengembara silam. Kemajuan teknologi memungkinkan perjalanan dipendekkan dan dipantaskan.

Mengembara sebenarnya menyingkap rahsia tamadun dan peradaban manusia. Beratus kurun tidak pernah aman. Perang dan damai silih bertukar bagai edaran purnama dan mentari. Apa yang diperangkan? Kuasa dan kemewahan. Hikayat di sebalik monumen agung, bagaikan al-Hambra atau Taj Mahal, hebat merentas samudera dan benua. Bahan gurindam dan puisi sang pengkhayal cinta biarpun dibina atas tangis air mata dan curahan keringat merah.

Hidup biar berjasa, mati biar dihormati. Kudrat ini bagai layang-layang hilang angin. Tetapi bak kata pepatah, 'patah kepak, bertongkat paruh'. Untuk jatuh, tidak sekali. Kalaupun jatuh, bingkas bangkit. Berdiri tegak dan atur langkah terus mara ke hadapan.

Hujan petang, mendung awan yang meredupkan. Angin sepoi bahasa yang mengasyikkan bertiup. Manusia memang ramai yang kurang bersyukur kerana selalu memohon kepada yang tiada. Berjela dalam berdoa, teralpa pada yang ada meskipun sejengkal daripada kelopak mata. Sifat manusia sedikit menghargai, berkira waktu tiada, berlebihan waktu mewah serta berat untuk bersyukur!

Adaptasi daripada 'Aku Melayu di Kota Inggeris', Muhaimin Sulam

2 comments: